MPP IPT wajib kaji buku Menakhoda Zaman
TEMERLOH 6 April - Kementerian Pengajian Tinggi mewajibkan buku Menakhoda Zaman atau Helming the Times yang mengandungi ucapan penting Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai teks kajian pemimpin pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) di negara ini.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pihaknya akan mengedarkan buku tersebut secara percuma kepada semua anggota Exco majlis perwakilan pelajar (MPP) membabitkan 20 IPTA dan 45 IPTS.
Tegas beliau, semua IPTA dan IPTS yang mengadakan konvensyen di peringkat universiti masing-masing diwajibkan menyediakan kertas kerja bagi mendiskusikan buku berkenaan.
''Siri ucapan Perdana Menteri itu mengandungi pandangan kritis, inovatif dan bersifat transformasi bagi mengangkat maruah, bangsa, agama dan negara.
''Buku ini ditulis dalam dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris bagi memudahkan tatapan masyarakat antarabangsa," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pada 11 Oktober lalu, Najib melancarkan buku dwibahasa Menakhoda Zaman dalam bahasa Melayu dan Helming the Times dalam bahasa Inggeris yang merupakan himpunan ucapan beliau yang diolah semula semasa menjadi Timbalan Presiden UMNO dari 2004 hingga 2009.
Saifuddin berkata, buku tersebut amat sesuai kepada penuntut universiti untuk mengkaji isi kandungan dan cetusan minda Perdana Menteri.
''Buku ini dianggap istimewa kepada generasi muda terutama mahasiswa untuk mengkaji dan menghayati idealisme Najib selaku pemimpin untuk memperkasakan politik Melayu yang ditunjangi UMNO yang menjadi teras pembangunan negara.
''Ia juga sangat sesuai menjadi bahan kajian pemimpin pelajar sebagai bakal pemimpin masa depan untuk menghadapi cabaran semasa dan strategi mengatasinya secara berkesan," katanya.
Sebelum ini, jelasnya, golongan pelajar sering disogokkan dengan buku-buku politik yang hanya bersandar kepada teori yang ditulis penulis luar berbanding buku Menakhoda Zaman yang dihasilkan daripada realiti semasa dan pengalaman Perdana Menteri sendiri.
Mengulas kandungan buku berkenaan, tambahnya, ia mengandungi 11 bab menyentuh pelbagai isu politik UMNO, ekonomi, agama Islam, jati diri dan minda Melayu, transformasi budaya serta strategi mewujudkan Melayu glokal.
Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin memberitahu, pihaknya bersetuju menukarkan status pinjaman pelajaran kerajaan kepada biasiswa kepada mahasiswa yang berjaya mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan akhir di universiti.
''Peraturan yang berkuat kuasa 1 Januari lalu itu akan memberi dorongan kepada mahasiswa IPTA dan IPTS di negara ini untuk belajar lebih gigih bagi meraih kejayaan cemerlang sambil membuang budaya cukup makan," katanya.
0 support:
Post a Comment