Mahasiswa wajib sertai sukan di IPTA
Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanpahang@utusan.com.my
TEMERLOH 4 April - Mulai tahun depan, semua penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) diwajibkan menyertai sekurang-kurangnya satu jenis sukan bagi meningkatkan kualiti dan daya saing mereka.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, inisiatif itu sejajar dengan perubahan kokurikulum Kementerian Pelajaran yang mewajibkan setiap pelajar atau murid menyertai satu jenis sukan di sekolah.
Katanya, aliran perubahan itu bertujuan mengukuhkan sahsiah mahasiswa selain melonjakkan kualiti jenis sukan tertentu.
"Perkembangan pendidikan secara bersepadu itu yang menggabungkan kemajuan akademik dan sukan dapat melahirkan individu yang seimbang dalam aspek intelek, jasmani dan rohani.
"Pembabitan aktif dalam sukan ketika di kampus atau sekolah menjadi pengimbang kepada pelajar untuk berdikari, cergas, pintar dan tabah menghadapi cabaran.
"Pelajar jangan hanya menjadi ulat buku dengan mengabaikan aktiviti yang disifatkan pembina sahsiah," katanya.
Beliau berucap merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mentakab dekat sini hari ini.
Saifuddin menegaskan, saingan mendapatkan pekerjaan semakin hebat berikutan majikan tidak hanya memandang kelulusan semata-mata.
"Individu yang cemerlang dalam akademik dan kokurikulum berpeluang cerah mengisi kekosongan jawatan yang ditawarkan," katanya.
Saifuddin menambah, fenomena sedemikian dapat dilihat apabila ada pelajar cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) gagal mendapat tempat dan biasiswa kerana tidak pernah terlibat dalam kokurikulum.
"Oleh itu, ibu bapa dan penjaga harus peka dengan perubahan itu dan bersedia dengan dasar satu murid satu sukan yang dilaksanakan di sekolah pada awal tahun depan," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin menggesa PIBG membantu sekolah meningkatkan prestasi akademik supaya dapat diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).
0 support:
Post a Comment